Sindiket 'tipu' cinta tumpas, 11 ditahan
Disediakan oleh Berita Harian
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa yang didalangi warga Nigeria apabila menahan 11 anggota kumpulan itu menerusi beberapa siri tangkapan di sekitar ibu negara, awal Mei lalu.
Modus operandi yang digunakan untuk menipu mangsa adalah melalui laman sosial Facebook dengan menjalin hubungan cinta terutama wanita berusia 50-an sebelum mendapatkan wang daripada mangsa. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata semua anggota sindiket terbabit ditahan hasil siasatan polis berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita warga Perancis awal April lalu yang turut menjadi mangsa. Katanya, mangsa yang berusia 53 tahun itu dikatakan mengenali seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Amerika Syarikat, tetapi menetap di Malaysia sebelum menjalin hubungan cinta sejak enam tahun lalu, namun tidak pernah bersua muka.
“Awal April lalu, mangsa menerima panggilan daripada dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Doktor Jerry dan Abby sambil mendakwa, teman lelakinya kemalangan dan memerlukan wang untuk pembedahan.
“Mangsa juga diminta memasukkan sejumlah wang sebanyak EUR200,000 (RM875,000) bagi menampung kos pembedahan dan sekiranya gagal berbuat demikian, dua lelaki terbabit turut mengugut mangsa bahawa teman lelakinya tidak akan dilepaskan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Ku berkata, mangsa memasukkan EUR1,000 (RM4,359) sebagai pendahuluan sebelum datang ke negara ini untuk bertemu teman lelakinya di hospital.
“Sebaik mangsa tiba di sini, dia cuba menghubungi doktor dan teman lelakinya, namun gagal dan menceritakan perkara itu kepada pihak kedutaannya berhubung apa yang berlaku.
“Pihak kedutaan menjelaskan, mangsa mungkin ditipu dan memintanya membuat laporan polis sebelum semua anggota sindiket terbabit termasuk dua lelaki mendakwa sebagai doktor ditahan sebulan selepas kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan polis, lelaki yang mendakwa sebagai teman lelaki mangsa adalah tidak wujud dan sindiket berkenaan menggunakan modus operandi yang sama kepada mangsa lain untuk mendapatkan wang dengan cepat.
“Semua suspek masih dalam tahanan reman dan kita akan mengusir mereka daripada negara ini,” katanya yang meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang pujuk rayu kenalan di laman sosial.
No comments:
Post a Comment