Wednesday 12 March 2014

Pakar penerbangan sebut 6 sebab kehilangan misteri MH370

Pakar penerbangan sebut 6 sebab kehilangan misteri MH370
•Utama •Mutakhir •2014-03-12 08:48 •Disediakan oleh Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbngan MH370 sejak Sabtu lalu terus membingungkan pakar-pakar penerbangan serata dunia. Di tahap ini, seorang pakar penerbangan mengemukakan bukti sejarah yang boleh menjadi penyebab kepada kehilangan pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu. Sebab-sebab itu adalah gabungan kesilapan teknikal dan juruterbang hingga membawa kepada kesan-kesan terkumpul, kerosakan struktur, faktor kemanusiaan, cuaca buruk, kegagalan total elektrik dan rampasan pesawat. Menurut Perunding Ruang Angkasa dan Pertahanan Frost and Sullivan Asia Pacific, Ravi Madavaram, tidak wujud faktor tunggal yang umumnya menyebabkan pesawat terhempas, tetapi gabungan kerosakan teknikal dan keputusan juruterbang. Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata kerosakan dan keputusan jika berlaku bersendirian tidak membahayakan. "Ini yang berlaku kepada Air France 447. Tidak ada isyarat kecemasan dari Air France 447 kerana pilot (juruterbang) tidak sedar bahawa mereka akan terhempas hinggalah 10 saat sebelum ia berlaku," katanya. Mengenai kerosakan struktur, Madavaram berkata kegagalan struktur pesawat boleh menyebabkan juruterbang hilang kawalan. "Ini yang berlaku kepada China Airlines Penerbangan 611, semasa terbang di ketinggian 35,000 kaki pada 2002 bila Boeing 747 (Penerbangan 611) terhempas akibat kesilapan dalam pembaikan kerosakan. Menyentuh faktor kemanusiaan, beliau menegaskan tindakan yang disengajakan seumpamanya oleh penumpang atau juruterbang hingga menyebabkan pesawat terhempas telah ditonjolkan dalam insiden World Trade Centre 9/11. Pakar itu menyatakan keadaan cuaca buruk seperti salji, kabus, hujan, dan ais boleh menjejas prestasi pesawat, yang berkemungkinan mengakibatkan pesawat terhempas. "Ini berlaku pada penerbangan sebuah pesawat Qantas pada 2008 di Bangkok. Pesawat itu mendarat dengan selamat dengan tenaga sokongan dari Auxiliary Power Unit (APU)," katanya. Madavaram menolak kemungkinan MH370 dirampas, kerana adalah mustahil bagi pesawat itu terlepas dari semua imbasan radar dalam kawasan penerbangannya. Menjelas lanjut, beliau berkata setiap pesawat sivil komersial mempunyai alat pengesan, Emergency Locator Transmitters (ELT), dan ia akan diaktifkan semasa pesawat terhempas bergantung pada kekuatan hentakan atau maklumat diberikan juruterbang. Beliau berkata satu lagi lampu isyarat (beacon) dilekatkan pada alat perakam penerbangan atau kotak hitam dipanggil Underwater Locator Beacon (ULB), dan lampur isyarat ini akan diaktifkan sebaik saja ia bersentuh dengan air. "Andainya pesawat terhempas di air, ELT akan menghantar isyarat, tetapi ia tidak kalis air. ULB mula menghantar isyarat sebaik saja ia tersentuh dengan air," kata beliau. ELT dan beacon menggunakan bateri sendiri dan kegagalan elektrik tidak menjejas alat-alat ini. "Bateri beacon atau beacon kotak hitam direka untuk hayat 28 hari. Jika beacon kotak hitam padam dan pesawat tidak dikesan dalam tempoh itu, maka satu-satunya harapan ialah mencari serpihan dan dari situ cuba mengesannya dengan gerak berundur," katanya. - BERNAMA



Kronologi hari ke-4 kehilangan pesawat MH370
•Utama •Mutakhir •2014-03-11 18:50 •Disediakan oleh Berita Harian

KUALA LUMPUR: Memasuki hari keempat misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih belum terjawab apabila masih belum ditemui biarpun usaha mencari melibatkan pelbagai negara giat dilakukan. Kehilangan misteri pesawat itu merupakan kejadian kedua selepas kehilangan misteri pesawat Air France 447, yang terhempas di Lautan Atlantik ketika terbang dalam ribut dari Rio de Janeiro ke Paris menyebabkan 228 penumpang dan anak kapalterkorban pada 1 Jun 2009. Air France 447 ditemui dua hari selepas ia terhempas dan mengambil masa lebih dua tahun untuk pakar penyiasat mencari penjelasan insiden itu. Berikut kronologi insiden kehilangan MH370:* 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam dan dijadualkan mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi pada hari yang sama.* 8 Mac - Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar pada 1.30 pagi 120 batu nautika di perairan timur Kota Baharu, Kelantan.* 8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). * 8 Mac - Kenyataan media daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu, kesemua keluarga penumpang telah dimaklumkan dan pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).* 8 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.* 9 Mac - Bantuan luar negara tiba dalam operasi SAR mencari MH370 melibatkan 34 pesawat dan 40 kapal laut membabitkan aset negara dan luar negara iaitu daripada China, Thailand, Vietnam, Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Singapura. * 9 Mac - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluaskan di Laut China Selatan hingga ke Selat Melaka.* 9 Mac - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang mempunyai pasport palsu, daripada negara Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.* 9 Mac - APMM menghantar sampel tompokan minyak ditemui di kawasan Laut China Selatan, 100 batu nautika dari pantai Tok Bali dekat sini ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.* 10 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan telah menerima tawaran daripada Perdana Menteri New Zealand John Key, yang menghantar pesawat pengesan maritim P-3C Orion bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang.* 10 Mac - APMM mengesahkan tompokan minyak dijumpai di Laut China Selatan semalam hanyalah minyak bunker yang memang tidak digunakan oleh kapal terbang.* 10 Mac - Pegawai Meteorologi Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Khairul Najib Ibrahim berkata tiada sebarang perubahan cuaca ketara berhampiran perairan negara yang dilihat boleh mengancam penerbangan pesawat MH370 sewaktu ia dilaporkan hilang. - BERNAMA


Nelayan Port Dickson dakwa temui objek mirip rakit penyelamat pesawat
•Utama •Mutakhir •2014-03-12 14:50 •Disediakan oleh Berita Harian

PORT DICKSON: Sekumpulan nelayan mendakwa menemui satu objek menyerupai rakit penyelamat kapal terbang ketika menangkap ikan, kira-kira 10 batu nautika dari pantai di sini, tengah hari semalam. Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Azman berkata, ia ditemui tenggelam timbul kira-kira jam 12 tengah hari dan menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Linggi sebelum jurucakap APMM mengesahkan sepasukan APMM dihantar ke tempat kejadian


Ahli keluarga penumpang MH370 dikawal ketat
•Utama •Mutakhir •2014-03-08 14:50 •Disediakan oleh Berita Harian

SEPANG: Setiap ahli keluarga penumpang pesawat MAS MH370 dikawal ketat pasukan keselamatan dan media tidak dibenarkan mendekati atau menemubual mereka.

Kelihatan seorang wanita lingkungan 50-an sebak sebelum diiringi memasuki Anjung Tinjau KLIA tempat keluarga mangsa berkumpul.


MH370: Semua maklumat disiasat - Abdul Rahim
•Utama •Mutakhir •2014-03-12 20:50 •Disediakan oleh Berita Harian

KAJANG: Kerajaan tidak pernah mengabaikan sebarang maklumat termasuk yang disebarkan di media sosial dalam usaha menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370 sejak Sabtu lalu. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata setiap maklumat yang diterima akan disiasat dan diteliti pasukan penyiasat bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) penumpang dan anak kapal pesawat MAS itu. Biarpun analisis dan pandangan tidak tepat khususnya di laman sosial sikit sebanyak mengganggu operasi SAR, beliau berkata ada maklumat yang boleh diguna pakai untuk membantu operasi berkenaan. "Apa saja maklumat yang berwibawa akan dilihat pihak penyiasat walaupun banyak perkara dianggap 'rubbish' tetapi ada juga perkara yang kita boleh guna pakai untuk membantu operasi SAR. "Kalau kita abaikan maklumat yang diperoleh, kita mungkin tidak dapat mencarinya dengan baik sebab itu kita beri perhatian terhadap apa juga maklumat yang dianggap berwibawa," katanya pada sidang media di sini, petang tadi. Beliau ditemui di majlis Jasamu Dikenang Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Leftenan Adnan. Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM itu bagi mengingati jasa pahlawan era Perang Dunia Kedua, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi yang terkorban ditangan askar Jepun di Bukit Chandu, Singapura pada 14 Februari 1942.

No comments:

Post a Comment