Tuesday, 27 November 2012

Nabil Raja Lawak Dapat Anak

Nabil Raja Lawak dapat anak

Ceria sungguh suara bekas juara program Raja Lawak musim kedua, Nabil saat dihubungi HIP, petang semalam.

Jelas terbayang keterujaan lelaki itu apabila penantian untuk bergelar bapa akhirnya menjadi kenyataan. Isterinya, Nazira Ayub atau Zira selamat melahirkan bayi sulung mereka pada jam 8.40 pagi di Klinik Umra, Shah Alam, semalam.

Tiada perasaan sehebat ini yang dirasakan apabila berpeluang menatap wajah si comel sambil melafaz azan dan qamat di kedua-dua telinga zuriatnya itu. Sebak, gembira, bangga bercampur baur dan barangkali itulah perasaan setiap lelaki apabila bergelar bapa.

“Kulitnya agak cerah macam ibunya.

Manakala bibirnya warna merah dan ada sedikit macam bibir saya. Kata ibu saya, wajahnya gabungan saya dan Zira. Cuma telinganya saja tidak capang macam saya,” ujar Nabil sempat berseloroh.

Bagaimanapun, di sebalik perasaan teruja dan gembiranya itu, ada cerita menarik yang ingin Nabil dikongsi bersama.

Menurut anak kelahiran Mambau, Seremban.

Negeri Sembilan itu, kelahiran bayi comel seberat 2.67 kilogram itu memang tidak diduga kerana lebih cepat dari tempoh ditetapkan doktor.

“Doktor menjangka bayi kamiakan lahir pada 20 Disember depan.

Namun, nampaknya kelahirannya lebih awal. Disebabkan itu, proses kelahiran dibuat secara pembedahan atau caesarian. Zira mengadu sakit perut pada jam 3.30 pagi (semalam) dan kami bergegas ke klinik.

“Memandangkan kami hanya menjangka yang kelahiran hanya berlaku pada bulan Disember, jadi kami tidak beriya-iya membuat persiapan. Kelam kabut jugalah pagi tadi nak cari barang persiapan.

“Bayangkan disebabkan itu juga, kami masih belum memikirkan nama yang sesuai untuk bayi kami itu. Malah saya baru saja beli buku panduan memberikan nama kepada bayi,” cerita Nabil sambil tergelak.

Memandangkan segala-galanya berlaku dengan pantas, Nabil berkata dia juga tidak sempat mengambil cuti. Ketika ini, dia masih terikat dengan penggambaran sebuah program kanak-kanak.

“Cadangan awal hanya pada bulan depan akan mengambil cuti.

Tak sangka pula bayi saya lahir cepat. Nampaknya, selepas ini saya kenalah ambil cuti untuk bersama isteri dan anak saya. Saya sudah pun memohon cuti pada Suria FM.

“Saya juga akan berbincang dengan pihak Astro Ceria mengenai hal itu. Ini kerana ketika ini, saya sedang mengendalikan sebuah program kanak-kanak untuk saluran itu. Program yang berkisar mengenai kanak-kanak mengenakan orang dewasa ini saya kendalikan bersama Aril,” ujarnya yang akan mengambil cuti selama seminggu.

Meskipun bayinya itu lahir lebih awal dari jangkamasa yang ditetapkan, namun Nabil bersyukur kerana anak dan isterinya itu sihat.

“Saya bersyukur kerana keduanya sihat dan esok (hari ini) mereka sudah boleh pulang ke rumah. Dalam tempoh berpantang ini, walaupun saya ada pembantu rumah, Zira tetap akan dijaga oleh ibunya kerana itu lebih mudah.

Senang untuk urusan mengurut dan sebagainya,” cerita Nabil lagi. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu.

No comments:

Post a Comment