Tuesday, 27 November 2012

Kisah Cinta Arumi Bachsin dengan Emil Dardak

Kisah Cinta Arumi Bachsin dengan Emil Dardak

Setahun jalin cinta, pelakon sinetron selesa dampingi jejaka bergelar usahawan. Bertemu di sebuah acara amal, provokasi pengurus yang ingin melihat mereka bercinta menyatukan Arumi Bachsin dan kekasihnya, seorang ahli perniagaan, Emil Dardak.

Setahun menjalin cinta, Arumi, 18, selesa mendampingi jejaka yang bergelar usahawan itu.

Pernah beberapa kali Emil dilihat menemani pelakon sinetron, Dia Bukan Cinderella itu dalam beberapa acara hiburan. Positif hubungan dijalin, Arumi akui, kekasihnya yang juga putera kepada Wakil Menteri Pekerjaan Umum, Hermanto Dardak itu sentiasa menyokong kariernya.

“Dia baik dan setakat ini, tiada masalah besar antara kami berdua. Berbeza pendapat itu perkara biasa, tetapi kami saling menyokong. Jika kelapangan, Emil akan menemani. Tetapi itu bukan kewajipan kerana dia juga memiliki kerjaya sendiri. Saya sangat berterima kasih jika dia mempunyai kesempatan,” katanya.

Jarak usia beza 10 tahun

Pelakon filem, Bestfriend dan Kahwin Muda ini juga tidak pernah mempersoalkan jarak usia mereka yang berbeza 10 tahun. Kedewasaan Emil, kata Arumi, mengetepikan luapan cemburu berlebihan yang sering menjadi dalang kepercayaan kepada pasangan bercinta.

“Dia bukan seorang yang cemburu. Tidak sihat hidup atau menjalani hubungan yang terlalu dikuasai perasaan cemburu, malah memungkinkan retak.

Saling percaya itu sudah memadai buat kami berdua,” kata Arumi yang pernah terkait dengan kontroversi apabila lari dari rumah kedua orang tuanya kerana mendakwa mereka cuba mengeksploitasi dirinya.

Keselesaan dalam percintaan, bagaimanapun, belum membuka pintu hati Arumi untuk melanjutkan hubungan mereka ke alam rumah tangga.Perkara itu masih belum difikirkan gadis yang memulakan karier sebagai peragawati pada usia 12 tahun.

“Memang kami saling memahami tetapi saya belum terfikir soal nikah. Masih terlalu awal untuk ke situ kerana hubungan ini baru setahun dijalani. Berikan dulu masa untuk kami menikmati alam percintaan sebelum memikirkan masa depan hubungan ini,” kata aktres berdarah campuran Palembang dan Jerman ini.

Belum betul-betul kenal

Dia akui masih belum mengenali sepenuhnya karakter sebenar Emil, justeru enggan tergesa-gesa menyatakan Emil sebagai calon suami kerana bimbang perjalanan indah sedang dilalui itu hanya separuh jalan.

“Banyak perkara yang saya takut. Mencari calon suami, bukan sekadar pintar atau hanya melihat fizikal. Ia lebih daripada itu, jadi mengapa perlu saya terburu-buru,” katanya.

No comments:

Post a Comment